Wednesday 2 March 2011

Lawatan Ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor




















Pada 1 Mac 2011, Penyelaras kursus International Logistics Management (LOG 2043) dan Management of Business Logistics (LOG 2033) telah mengadakan  satu lawatan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai , Johor. Lawatan ini diadakan bertujuan untuk mendedahkan pelajar tentang aktiviti logistik di lapangan terbang khususnya melibatkan pengangkutan kargo menggunakan udara. Seramai 28 pelajar telah menyertai lawatan  ini serta 5 orang pensyarah yang terdiri daripada 4 orang pensyarah logistik iaitu Encik Dorries, Encik Syamrie, Encik Zamri dan Puan Norzaliha  dan seorang wakil pensyarah daripada Jabatan Sains Kuantitatif iaitu Encik Faizal. Rombongan telah bertolak daripada Kolej pada pukul 8.30 pagi dan sampai ke Lapangan terbang Senai tepat pukul 10 pagi. Kami terus diarah menuju ke kompleks kargo yang terletak tidak jauh daripada terminal utama lapangan terbang.
Setibanya di kompleks kargo, kami dibawa berjumpa dengan Encik Hadi yang menjadi wakil kepada pihak lapangan terbang Senai. Encik Hadi adalah Eksekutif yang mengawal pergerakan kargo udara di kompleks kargo tersebut. Selain itu, Encik Hadi juga dibantu oleh 3 orang pembantu yang menjadi wakil kepada beliau untuk menerangkan operasi kargo di situ. Kami dipecahkan kepada 3 kumpulan di mana setiap kumpulan diketuai oleh seorang pembantu beliau.
Apa yang membanggakan kami adalah 2 orang daripada pembantu beliau adalah pelajar Kolej Profesional MARA Bandar Penawar (KPMBP) yang sedang mengikuti latihan industri di syarikat tersebut. Mereka adalah Nooratiqah Bt Abdul Sattar dan Nur Syafiqah Bt Ahmad Sabri. Kami juga sangat berbangga kerana mereka berdua telah berjaya ditawarkan untuk terus bekerja di syarikat tersebut selepas mereka habis latihan industri. Ini memberi satu gambaran positif bahawa KPMBP juga sebenarnya berupaya untuk menghasilkan pelajar yang dapat memenuhi keperluan industri terutama di bidang logistik.
Selepas hampir 2 jam penerangan diberikan kepada pelajar mengenai operasi di kompleks tersebut. Kami telah berkesempatan melawat ke terminal utama lapangan terbang yang telah mejalani proses pengubahsuaian. Pelajar telah diberi 1 jam untuk melawat terminal yang menjadi tempat pengendalian penumpang.
Selepas selesai makan tengahari serta solat zohur, kami berpeluang melawat sekitar kawasan industi Senai. Kami bertolak balik pada pukul 4 petang dan sampai ke KPMBP pukul 6 petang. Secara keseluruhannya, kami sebagai pensyarah menganggap lawatan ini sangat berjaya dalam mencapai objektif yang diharapkan. Kami juga berbangga pada 2 orang pelajar yang telah ditawarkan kerja oleh pihak lapangan terbang dan ini memberi motivasi dan semangat kepada pensyarah untuk terus memberikan pendidikan berkualiti kepada pelajar. Diharap lawatan seumpama ini dapat dijalan dengan lebih kerap pada masa hadapan dalam menyahut seruan pihak pendidikan tinggi MARA untuk membuat “Active Learning” di peringkat KPMBP.

TERIMA KASIH.
Oleh: DORRIES BIN ALI

No comments:

Post a Comment